Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud:
"Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka
menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada
memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain dari yang nyata (mesti terbuka
terdiri dari bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari,
seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke
leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan tiada memperlihatkan perhiasannya
(tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya,
anak-anak suaminya, saudara-saudaranya,anak-anak saudara lelaki, anak-anak
saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya,
laki-laki yang menjalankan kewajubannya tetapi tidak mempunyai keinginan
(terhadap perempuan - umpanya pelayan-pelayan lelaki yang sudah tua dan tiada
lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak yang belum mempunyai
pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya,
supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (misalannya melangkah
dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau perhiasan seperti
gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah s.w.t,
Hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung. (Surah An-Nur: 31)
Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud:
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk
(taat) hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran (suruhan dan larangan)
Allah serta (taat) mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka
menjadi seperti orang-orang yang telah diberi kitab sebelum mereka (Yahudi dan
Nasrani), setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut (jauh dari zaman
nabi mereka) maka hati mereka menjadi keras (dari mengikuti perintah/ajaran
nabi mereka) dan banyak di antaranya orang-orang fasik” (Surah Al-Hadid: 16)
Bila ayat menutup
aurat turun sahaja semua wanita ketika itu tidak kira dari golongan Ansar
mahupun Muhajirin dengan segera menutup aurat masing-masing. Yang ada di pasar,
yang ada di rumah, yang sedang dalam perjalanan capai apa sahaja untuk menutup
aurat masing-masing dengan segera dan bukannya nanti dulu. Yang tidak mendapat
apa-apa mereka segera memalingkan muka menghadap dinding supaya tiada lelaki
terpandang wajah mereka. Itulah kekuatan iman yang ada pada wanita-wanita
ketika itu. Tetapi kini segala- galanya telah berubah makin jauh kita dari
zaman Rasulullah s.a.w. makin kita jauh dari amalan agama.
Dalam ayat yang
sama juga Allah s.w.t. menegur kita supaya tidak menjadi seperti ahli kitab
sebelum kita (Yahudi dan Nasrani) di mana semakin mereka jauh dari zaman nabi
mereka maka semakin kurang mengamalkan agama. Itulah keadaan kita ketika ini.
Saudari-saudari seagama dengan kita bukan tidak tahu kewajiban menutup aurat,
tetapi oleh kerana kelemahan iman serta sikap acuh tak acuh membuatkan mereka
lalai. Perkataan yang biasa kita dengar dari saudari-saudari kita ialah
"belum sampai seruan". Seruan apa yang ditunggunya atau seruan dari siapa yang
sedang mereka tunggu? Bukankah Allah s.w.t. telah seru untuk menutup aurat
sejak 14 abad dahulu lagi. Tetapi kenapa masih tak tutup-tutup lagi?
Lihat lagi ayat
di atas Allah s.w.t. berfirman:
"Katakan kepada orang-orang perempuan yang beriman" Allah s.w.t.
dengan khusus gunakan perkataan "beriman" dan bukannya "wahai
manusia" kerana segala perintah hanya boleh didukung oleh orang-orang yang
beriman sahaja”
Dalam ayat kedua
pun sama yang ditujukan ayat-ayat ini adalah kepada orang-orang yang beriman.
Kita kata kami beriman dengan Allah s.w.t, Rasul-rasulNya dan, Kitab-kitabNya
tetapi apa yang kita ucapkan dan buat adalah sungguh bertentangan. Allah s.w.t.
telah menggariskan peraturan dan rasul telah mengajarkannya dan peraturan itu
telah termaktub di dalam kalamNya. Tetapi kenapa masih leka? Kita bimbang
kalau-kalau kita dibungkus dengan kain putih sebelum kita sempat menutup
aurat.
Maka wahai
saudari-saudari seagamaku (yang beriman), sebelum terlewat rebutlah peluang
yang ada jangan tunggu esok amalkan sekarang juga. Bimbang "Esok tiada
bagi mu". Gembirakanlah Allah s.w.t. dan rasulNya dengan mengikut perintah
mereka supaya dikala kamu dirundung malang Allah s.w.t. dan rasulNya dapat
menggembirakan kamu.
No comments:
Post a Comment