"Dakwah? Diri sendiri pun tak betul, ada hati nak tegur orang lain? Aku tak mampu lagi la, tunggu la sikit masa lagi."
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, setiap muslim secara
langsung atau tidak, perlu saling nasihat menasihati dan berdakwah
antara satu sama lain. Tanggungjawab itu sudah tercatat sedari loh
mahfuz lagi. Kita bukan sesiapa untuk menidakkan tugas ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 30:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para
malaikat. Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." mereka berkata,
"Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan
darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?"
Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Ramai diluar sana yang beranggapan seperti saya. Mungkin
mereka tersilap faham akan konsep dakwah yang sebenar. Yelah, mana
mungkin mahu berdakwah andai diri sendiri masih saja terumbang-ambing
dengan keseronokan duniawi. Bagaimana mahu berdakwah kalau diri sendiri
pun sekejap begitu sekejap begini. Namun sekarang,saya sedar bahawa
dakwah itu tugas setiap manusia yang diutus menjadi khalifah di muka
bumi Allah ini. Menurut tafsir Al-Quran, "Khalifah"
pada ayat 30 ini bermaksud pengganti, pemimpin atau penguasa. Manusia
diutuskan ke muka bumi ini untuk memimpin dalam mencapai keredhaanNya.
Tugas dakwah memang berat. Saya akui kebenarannya. Untuk diri saya
yang baru mula bertatih ini, sememangnya kerja-kerja dakwah itu tidak
mudah. Kerana bukan semua mampu berfikir seperti mana yang kita
fikirkan. Namun, itulah tugas seorang hamba Allah yang bernama Khalifah.
Tugas seorang hamba Allah yang perlu sentiasa meningkatkan diri sendiri
dan menarik sahabat-sahabat agar bersama-sama berdiri di atas landasan
iman yang kukuh.
Seorang yang berdakwah perlu mengamalkan cara dakwah yang bersifat 'Qudwah hasanah' iaitu Dakwah
melalui tauladan yang baik. Sebagai contoh, kita hendaklah menunjukkan
contoh yang baik melalui perbuatan kita sendiri. Salah satu contoh
adalah senyum. Senyumlah kerana ia seindah suria. Melalui senyuman,
lebih mudah dakwah kita akan diterima dan ukhuwah juga boleh terjalin.
Oleh kerana itu, senyumlah kepada sahabat handai dan saudara mara.
Anda tidak akan rugi apa-apa hanya kerana anda senyum. Malah, anda akan
bahagia. Namun, perlulah diingatkan, senyumlah pada yang berhak sahaja.
Kepada para wanita muslimah senyumlah dengan penuh batasan.
Selain itu kita perlu bercakap dan berdakwah secara lemah lembut.
Akan tetapi lemah lembut yang dimaksudkan bukanlah bermakna bercakap
dengan nada mendayu-dayu dengan bukan muhrim . Sekiranya perlu untuk
bercakap dengan seseorang yang bukan muhrim, anda perlulah melembutkan
cara percakapan tetapi perlu juga tegas menyampaikan mesej yang hendak
disampaikan. Muslimah itu perlu mempunyai pendirian yang tegas dan
bertutur dengan penuh hikmah.
Ayat 159 Surah Aali-'Imran:
"Maka berkat rahmat Allah, Engkau (Muhammad) berlaku
lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya Engkau bersikap keras dan
berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu
maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan
bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau
telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh,
Allah mencintai orang yang bertawakal."
Sahabat, kalau rasa lemah semangat untuk terus berjuang, renung-renungkanlah semula kisah nabi kita , Rasulullah s.a.w. Terlalu banyak rintangan dan dugaan yang baginda hadapi sehinggakan baginda pernah dilemparkan batu oleh kaum Quraisy sehingga terluka. Apalah sangat usaha kita hari ni berbanding kekasih Allah ini? Kuatkanlah semangat kalian!. Saya berharap agar kalian teruskan warisan Rasulullah s.a.w ini iaitu berdakwah ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar! InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment