Tuesday, 11 September 2012

Pengertian Aurat, Hijab, Jilbab Dan Niqab


Assalamualaikum...
Adalah suatu perkara yang indah jika seseorang itu berhijrah untuk memahami dan melaksanakan tuntutan berhijab.
Namun dewasa ini perkara atau hukum hijab ini seolah-olah dianggap sebagai peredaran fesyen yang sekadar menjadi sebutan dan trend. Pihak yang memberi pengaruh dan ikutan semestinya dari golongan selebriti disebabkan oleh faktor populariti.
Namun yang demikian, perkara hijab dan jilbab ini merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan. Apa yang merisaukan adalah pemahaman terhadap tuntutan ini disalah ertikan dengan pelaksanaan yang sarkastik semata-mata.
01. AURAT
Aurat merupakan istilah Arab yang bermaksud bahagian anggota badan yang wajib ditutup (haram jika dipamerkan) kepada orang asing (ajnabi) yang bukan muhrim.
Diperjelaskan lagi, batas aurat juga merangkumi jenis pakaian yang tidak menonjolkan bentuk tubuh badan.
Secara dasarnya dinyatakan bahawa batas aurat bagi lelaki adalah di antara pusat hingga ke lutut. Berlainan pula dengan aurat yang ditekankan kepada golongan wanita.
Aurat bagi kaum wanita merangkumi:
  • Di hadapan saudara lelaki (muhrim) diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali kepala dan tangan.
  • Ketika bergaul sesama wanita muslim aurat bagi wanita itu adalah dari pusat hingga ke lutut
  • Ketika bergaul di kalangan wanita bukan muslim adalah diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Namun bagi sesetengah pendapat para ilmuan batas aurat wanita muslim kepada wanita bukan muslim adalah sama dengan batas aurat ketika bergaul sesama muslim
  • Apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrim pula diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan
  • Aurat ketika solat adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan
Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa suara juga merupakan aurat bagi kaum wanita.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (terjemahan langsung adalah: 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada:
  • Suami mereka atau 
  • Bapa mereka atau
  • Bapa mertua mereka atau
  • Anak-anak mereka, atau
  • Anak-anak tiri mereka atau
  • Saudara-saudara mereka atau
  • Anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
  • Anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
  • Perempuan-perempuan Islam atau 
  • Hamba-hamba mereka atau
  • Orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
  • Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan 
Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." - [Surah An Nur: Ayat 31]
02.HIJAB
Pelaksanaan hijab adalah perkara wajib yang diperjelaskan secara nyata di dalam Al-Quran.
Secara umumnya hijab itu membawa maksud cara menutup aurat bagi lelaki dan juga perempuan dengan sempurna.
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)." - [Surah Al-A'raaf: Ayat 26]
03.JILBAB
Jilbab adalah tuntutan dalam pelaksanaan hijab yang sebenar.
Perkara ini dijelaskan dengan penurunan ayat Al-Quran dari petikan surah Al-Ahzab. Jilbab merupakan kaedah atau fesyen pakaian yang labuh.
Jika dilihat kepada revolusi wanita Islam masa kini,  fesyen pemakaian tudung labuh adalah teramat kurang sekali untuk dilihat. Malahan di negara Malaysia ini, golongan yang bergelar ustazah juga kurang dilihat mengenakan pakaian berunsur jilbab.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - [Surah Al-Ahzab: Ayat 59]
04.NIQAB
Niqab adalah sehelai kain yang digunakan untuk menutupi muka seorang wanita kecuali mata yang lebih dikenali sebagai "purdah".
Pemakaian niqab bagi seorang wanita menjadi persoalan para cendekiawan sama ada ianya wajib ataupun tidak. Namun begitu, penggunaan purdah dipersetujui bahawa adalah sangat dicadangkan.

PENUTUP
Hukum menutup aurat adalah wajib bagi setiap insan yang bergelar muslim. Namun, pelaksanaan hukum ini tidak mendapat perhatian oleh kebanyakan umat Islam dewasa ini. Walaupun kita berada di dalam sebuah negara yang diiktiraf sebagai negara Islam, tetapi tiada undang-undang khusus yang mewajibkan etika menutup aurat. Oleh yang demikian, perihal hukum menutup aurat mula dipandang sebagai hukum yang boleh diringan-ringankan. Sedangkan hakikatnya hukum menutup aurat ini sememangnya diketahui sebagai WAJIB bagi umat Islam, tetapi begitu sukar memenuhi tuntutan hukum ini sebagai tunjang kekuatan iman...

Monday, 10 September 2012

Dakwah Itu Tugas Siapa??

"Dakwah? Diri sendiri pun tak betul, ada hati nak tegur orang lain? Aku tak mampu lagi la, tunggu la sikit masa lagi."
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, setiap muslim secara langsung atau tidak, perlu saling nasihat menasihati dan berdakwah antara satu sama lain. Tanggungjawab itu sudah tercatat sedari loh mahfuz lagi. Kita bukan sesiapa untuk menidakkan tugas ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 30:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Ramai diluar sana yang beranggapan seperti saya. Mungkin mereka tersilap faham akan konsep dakwah yang sebenar. Yelah, mana mungkin mahu berdakwah andai diri sendiri masih saja terumbang-ambing dengan keseronokan duniawi. Bagaimana mahu berdakwah kalau diri sendiri pun sekejap begitu sekejap begini. Namun sekarang,saya sedar bahawa dakwah itu tugas setiap manusia yang diutus menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Menurut tafsir Al-Quran, "Khalifah" pada ayat 30 ini bermaksud pengganti, pemimpin atau penguasa. Manusia diutuskan ke muka bumi ini untuk memimpin dalam mencapai keredhaanNya.

Tugas dakwah memang berat. Saya akui kebenarannya. Untuk diri saya yang baru mula bertatih ini, sememangnya kerja-kerja dakwah itu tidak mudah. Kerana bukan semua mampu berfikir seperti mana yang kita fikirkan. Namun, itulah tugas seorang hamba Allah yang bernama Khalifah. Tugas seorang hamba Allah yang perlu sentiasa meningkatkan diri sendiri dan menarik sahabat-sahabat agar bersama-sama berdiri di atas landasan iman yang kukuh.
Seorang yang  berdakwah perlu mengamalkan cara dakwah yang bersifat 'Qudwah hasanah' iaitu Dakwah melalui tauladan yang baik. Sebagai contoh, kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik melalui perbuatan kita sendiri. Salah satu contoh adalah senyum. Senyumlah kerana ia seindah suria. Melalui senyuman, lebih mudah dakwah kita akan diterima dan ukhuwah juga boleh terjalin.
Oleh kerana itu, senyumlah kepada sahabat handai dan saudara mara. Anda tidak akan rugi apa-apa hanya kerana anda senyum. Malah, anda akan bahagia. Namun, perlulah diingatkan, senyumlah pada yang berhak sahaja. Kepada para wanita muslimah senyumlah dengan penuh batasan. 
Selain itu kita perlu bercakap dan berdakwah secara lemah lembut. Akan tetapi lemah lembut yang dimaksudkan bukanlah bermakna bercakap dengan nada mendayu-dayu dengan bukan muhrim . Sekiranya perlu untuk bercakap dengan seseorang yang bukan muhrim, anda perlulah melembutkan cara percakapan tetapi perlu juga tegas menyampaikan mesej yang hendak disampaikan. Muslimah itu perlu mempunyai pendirian yang tegas dan bertutur dengan penuh hikmah.

Ayat 159 Surah Aali-'Imran:
"Maka berkat rahmat Allah, Engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya Engkau bersikap keras dan berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal."

Sahabat, kalau rasa lemah semangat untuk terus berjuang, renung-renungkanlah semula kisah nabi kita , Rasulullah s.a.w. Terlalu banyak rintangan dan dugaan yang baginda hadapi sehinggakan baginda pernah dilemparkan batu oleh kaum Quraisy sehingga terluka. Apalah sangat usaha kita hari ni berbanding kekasih Allah ini? Kuatkanlah semangat kalian!. Saya berharap agar kalian teruskan warisan Rasulullah s.a.w ini iaitu berdakwah ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar! InsyaAllah.

Sunday, 9 September 2012

Masjid Bukan Untuk Yang Senja


Di simpang masuk ke Jalan Masjid, berkumpul sekumpulan pemuda. Tiba-tiba datang seorang pakcik.
"Mari anak-anak, jom kita ke masjid solat berjemaah," seru pakcik tersebut.
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!" jawab seorang pemuda daripada kumpulan tersebut.
Wajah pakcik itu nampak berdukacita. Apa yang mampu dilakukannya, masalah Iman ummat akhir zaman akan bertindak sebegitu.
Masjid Untuk Orang Tua 'Senja'?
Alasan seorang ayah untuk anaknya yang masih kecil, "Budak-budak tak payah pergi masjidlah, lari-lari buat bising je. Buat orang tua sembahyang tak khusyuk! Dahlah, pergi tengok TV lagi bagus."
Alasan seorang ayah untuk anaknya yang meningkat dewasa, "Emm.. Budak ni dah besar dah. Pandailah dia fikir sendiri, kubur masing-masing. Bila hidayah dah sampai nanti, datanglah dia ke masjid tu!".
Waktu kanak-kanak dikatakan membuat bising di dalam masjid, bila dah besar pandai-pandai fikir sendiri pula alasannya. Segelintir ibu bapa seolah-olah lepas tangan tentang soal ibadat anak mereka terutamanya solat berjemaah.
Maka tidak hairanlah masjid lengang dengan golongan muda dan yang ada kebanyakannya adalah dari golongan berumur.
Salah siapa?
Adat Atau Ibadat?
Kebiasaannya, masjid akan diisi oleh golongan tua yang kebanyakan adalah dari 'Kelab Orang-Orang Pencen'. Kebanyakkan mereka menghabiskan masa pencen mereka dengan beribadat kepada Allah dengan solat berjemaah di masjid.
Alhamdulillah, mereka sekurang-kurangnya mempunyai fikiran tentang ibadat mereka berbanding mereka yang masih belum sedar.
Tetapi, adakah ia sebagai satu ibadat atau satu adat? Apakah apabila tiba usia emas, semua orang Islam baru kena banyakkan ibadat? Adakah waktu muda adalah waktu umtuk bersuka ria dan mencari harta?
Terpulanglah apa pun jawapannya, Allah sahaja yang membalasnya.
Kalau Tak Sempat Tua Bagaimana?
Berbalik pada kisah yang awal tadi (kisah seorang pakcik dengan sekumpulan pemuda), terfikirkah anda tentang kenyataan balas pemuda tadi?
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!"
Kami muda lagi? Adakah sunnah berjemaah di masjid hanya untuk orang tua sahaja? Bagaimana pula jika seseorang itu tak sempat tua?
Jangan fikir kita di usia muda mustahil terlepas dari kematian! Tidakkah kita melihat rakan-rakan kita yang meninggal dunia dalam usia muda?
Mati kemalangan, mati mengejut (selalunya sakit jantung), dan pembunuhan. Adakah itu bukan satu kematian?
Mati tidak kira tua atau muda, jika sudah sampai ajalnya.. semua orang akan merasai kematian.
Apabila mati, hanya amalan sahaja yang kita bawa  menghadap Allah. Bagaimana jika amalan kita tidak banyak? Adakah kita akan menjawab di hadapan Allah, "Aku mati muda Ya Allah. Tak sempat buat amal Kau dah matikan aku". Adakah begitu?
Bangkitlah Wahai Orang Muda
Di antara golongan yang mendapat perlindungan di padang mahsyar ialah pemuda yang hatinya terikat dengan masjid.
Sewaktu rakan-rakan sebaya kita memenuhkan ruang disko di masa azan Maghrib berkumandang, marilah kita memenuhkan rumah-rumah Allah.
Sesungguhnya Allah menyayangi orang yang beribadat, tetapi Allah LEBIH menyayangi orang MUDA yang beribadat.
Golongan muda adalah tiang kepada masyarakat, jika roboh tiang itu maka akan rosaklah masyarakat. Cuba kita bayangkan jika semua orang-orang berumur di masjid itu telah tiada, siapakah yang akan mengimarahkan rumah Allah?
Jangan sampai cicak yang ada di siling masjid itu yang bertasbih kepada Allah bersendiri tanpa kehadiran makhluk Allah yang istimewa bernama manusia!

Sunday, 2 September 2012

Bagaimana Untuk Istiqamah??

Ya Allah...
Aku sangat cemburu apabila melihat sahabat-sahabat mampu berterusan atau dengan kata lainnya, istiqamah turun ke masjid/surau untuk solat fardu secara berjemaah.
Aku menjadi cemburu melihat sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dalam pembacaan al-Mathurat selepas subuh dan selepas asar.
Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mereka mampu istiqamah membaca Al-Quran setiap hari.
Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dan maintain kan hafazan Al-Quran mereka malahan dapat menambahkan lagi ayat-ayat dan surah-surah hafazan bagi mereka yang belum habis menghafaz.
Aku merasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang dapat istiqamah dalam mengamalkan solat sunat Dhuha tiap-tiap hari dan juga bagi mereka yang dapat istiqamah dalam solat sunat hajat. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang dapat mengamalkan solat sunat rawatib.
Cemburu dengan sahabat-sahabat yang sentiasa berselawat ke atas junjungan mulia Rasulillah SAW. Selawat dan salam ke atas baginda. Dan juga sahabat-sahabat yang sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dan sentiasa berzikir mengingati Allah SWT.
Sangat cemburu kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam belajar ilmu agama (Tolabul Ilmi).
Aku terlalu cemburu kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam membina kekuatan rohani iaitu qiamullail di waktu 2/3 malam.
Hadis nabi yang bermaksud:-
Daripada Syufyan Ibn Abdillah As-Saqafi berkata, Aku berkata, "Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada seorang pun selain engkau. Baginda bersabda, "Katakanlah, "Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah (jangan menyimpang)."
(Hadis Riwayat Muslim)
Istiqamah merupakan satu perkara yang sangat payah untuk dilakukan. Kadang-kadang terasa kaslan (malas), kadang-kadang terasa nak menangguh, terkadang masa tak mencukupi. Hendak melakukan sesuatu amalan secara istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang mustahil tetapi sesuatu perkara yang cukup mencabar keimanan seseorang muslim. Sebagaimana yang kita tahu, amalan yang sedikit tetapi kita istiqamah dalam melakukannya lebih baik daripada kita melakukan banyak amalan tetapi tidak secara istiqamah.


Namun jangan pula diambil mafhum ayat di atas dengan mengatakan
"aku nak pilih amalan yang sedikit je la, lagi senang kan...."
Betulkanlah kefahaman kita. Sesungguhnya bukanlah istiqamah di sini hanya sekadar cukup dengan amalan yang sedikit namun Rasulullah lebih mendidik kita agar lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Selagi mana kita mampu beramal dan beristiqamah dengan amalan kita, teruskan. Dan sekiranya kita mampu lagi untuk menambahkan amalan kita dan dapat beristiqamah dengannya, maka teruskanlah. Setelah yakin dapat istiqamah dengan amalan itu, maka tingkatkanlah dengan amalan lain pula.  Itu yang seelok-eloknya.
Ingat Ya Ikhwan... Manusia yang bodoh ialah manusia yang hari ini sama dengan hari semalam manakala manusia yang pandai dan berjaya ialah manusia yang hari ini lebih baik dan ada peningkatan daripada hari semalam.
Teringatkan pada kata seorang teman ,
"Payah ke istiqamah? Tengok aku, istiqamah je main game FIFA/PES."
Saya hanya ketawa tanpa berkata apa-apa dan hanya berfikir itu hanyalah gurauan semata walaupun sebenarnya kata-kata itu menyedarkan saya tentang sesuatu iaitu istiqamah!. Hati saya terdetik, mungkin Allah mahu memberitahu saya - "Jika kita mahu mengekalkan dan istiqamah dalam melakukan sesuatu, kita mesti punya minat dalam melakukan ia. Dan dari sudut lain, perlu ada kesedaran betapa bermaknanya sesuatu itu. Memaknakan sesuatu yang bermakna! 
 Justeru, minat, kecintaan dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara juga perlu untuk disebatikan di dalam diri. Demikianlah para  ulama' yang sentiasa  istiqamah di dalam ibadah yang dilakukan. Di dalam hati mereka hanya ada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lantas mereka dapat merasakan kekusyukan dan kemanisan dalam beribadat kepada yang Maha Esa. Lantaran didikan Rasulullah itu lah, mereka sentiasa istiqamah dan menjadi hamba yang punya kualiti di dalam ibadahnya, punya taqwa yang tinggi di dalam hatinya. Kita?
"Ya Allah, jauhnya darjat ku ni berbanding dengan mereka ini. Semoga aku dapat bersama dengan mereka beristiqamah dalam agama islam. Insya Allah..."
"Maka tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan"
(Surah Hud ayat 11)
Ambillah pedoman daripada cerita sang Abid, Barsisa yang tekun beribadat selamat 70 tahun, namun kecundang dengan tipudaya syaitan. Berakhir dengan sujud kepada syaitan dan kufur kepada Allah. Menunjukkan betapa hebatnya cabaran dan susahnya untuk istiqamah dalam beribadah kepada Allah. Kita sering kali gagal untuk terus istiqamah kerana pujuk rayu syaitan yang menggiurkan.
Berhubung dengan ini,  Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya yang berbunyi:-
"Dan ketika syaitan mencantikkan bagi mereka perbuatan mereka, dan dia berkata, 'Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku adalah pelindungmu."
(Surah Al-Anfaal ayat 48)
Semoga Allah jauhkan kita daripada perkara-perkara yang menyebabkan manusia tergelincir dari jalan islam dan tergolong dari mutasaqitun (golongan yang tercicir).

"Ya Allah. Istiqamahkan kami dalam ketaatan kepada-Mu dan tetapkan langkah kami dalam memperjuangkan agama-Mu. Amin Ya Rabbal 'Alamin."